KUALA LUMPUR: Pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang terbabit dalam nahas membabitkan enam kenderaan sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu, dibawa ke kompleks mahkamah hari ini untuk menghadapi tiga pertuduhan.
Lelaki itu yang memakai baju hijau dan bergari diiringi polis trafik ke Mahkamah Majistret.
Dia ditahan semalam selepas dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta, tempat dia menerima rawatan akibat gegaran otak susulan nahas berkenaan.
Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Dia dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya, Seksyen 42(1) kerana memandu secara melulu dan berbahaya, serta Seksyen 52(1) kerana gagal berhenti dan melaporkan kemalangan.Backward Skip 10sPlay VideoForward Skip 10s
Nahas pada jam 3.44 petang Sabtu lalu mengorbankan kanak-kanak perempuan berkenaan, selain mencederakan bapanya dan seorang penunggang motosikal.
Lima kereta dan sebuah motosikal terbabit dalam perlanggaran itu.
Siasatan awal mendapati trafik bergerak perlahan dari pusat bandar menghala ke Segambut apabila BYD Seal berkenaan dipercayai merempuh dari belakang sebuah Perodua Bezza yang dipandu bapa mangsa, berusia 30 tahun.
Impak pelanggaran menyebabkan Bezza itu, yang turut melanggar sebuah motosikal, berpusing ke lorong kanan sebelum merempuh tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Kanak-kanak perempuan yang duduk di tempat duduk belakang Bezza itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bapanya mengalami kecederaan pada tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun mengalami kecederaan di kepala.
Polis kemudian mengesan pemandu BYD Seal itu di hospital swasta berkenaan.

