TOKYO: Saintis Jepun berjaya melancarkan kapal angkasa bagi misi mengumpul sampel dari salah satu bulan Marikh yang berpotensi membantu merungkai asal usul sistem suria dan kehidupan di bumi.
Menerusi siaran langsung Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), roket H3 yang membawa prob tanpa kru Martian Moons eXploration (MMX) berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima pada jam 4.41 pagi waktu Jepun, semalam.
Selepas sejam kemudian, prob itu berjaya berpisah daripada roket berkenaan dan memulakan perjalanan ke sistem Marikh.
Kapal angkasa itu dijangka tiba berhampiran Marikh sekitar Ogos tahun depan sebelum mengorbit salah satu bulannya, Phobos.
Sebuah rover Perancis-Jerman dikenali sebagai IDEFIX akan menjadi kenderaan pertama bergerak di permukaan Phobos bagi menjalankan pemerhatian untuk memastikan pendaratan selamat.
MMX merancang mengumpul sekurang-kurangnya 10 gram bahan dari permukaan Phobos sepanjang tempoh tiga tahun misinya di sekitar planet merah itu.
Misi berkenaan yang turut melibatkan agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, bertujuan menjadi misi pergi balik pertama ke kawasan Marikh serta membantu persediaan penerokaan manusia pada masa depan.
JAXA berharap sampel itu dapat membantu saintis menentukan bagaimana Marikh dan dua bulannya terbentuk, sekali gus menjelaskan asal usul sistem suria.
Penyelidikan itu juga dijangka membantu menguji teori bahawa bulan Marikh terbentuk akibat perlanggaran objek angkasa dengan planet itu atau merupakan asteroid yang ditarik oleh graviti Marikh.
Selain mengkaji Phobos, misi itu turut memerhati satu lagi bulan Marikh iaitu Deimos, tanpa melakukan pendaratan.
JAXA juga akan meneliti potensi Phobos sebagai stesen angkasa semula jadi bagi menyokong penerokaan manusia ke Marikh, ketika Amerika Syarikat dan China turut berusaha membawa pulang sampel dari planet itu ke bumi. -AFP
Selamanya Malaysia

