TuJu alami gangguan sehari selepas kerajaan galak ganti Waze

KUALA LUMPUR: Aplikasi navigasi TuJu sedang menjalani proses naik taraf sistem sehingga menyebabkan fungsi navigasinya terganggu sementara, hanya sehari selepas kerajaan menggalakkan rakyat beralih daripada Waze kepada aplikasi alternatif dibangunkan secara tempatan itu.

Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan gangguan berkenaan menerusi notis disiarkan di akaun rasmi X agensi itu.

“Aplikasi TuJu sedang menjalani penambahbaikan sistem bagi memberikan pengalaman perjalanan lebih baik.

“Sepanjang tempoh ini, fungsi navigasi akan terganggu buat sementara waktu, manakala paparan kamera litar tertutup (CCTV) dan fungsi lain yang tersedia masih boleh digunakan seperti biasa,” menurut notis itu.

Bagaimanapun, notis berkenaan tidak menyatakan bila fungsi navigasi aplikasi itu akan kembali beroperasi sepenuhnya.PauseNextMute

Pengumuman itu dibuat sehari selepas kerajaan mengarahkan penjawat awam tidak menggunakan aplikasi Waze ketika menjalankan tugas rasmi atas kebimbangan berkaitan keselamatan data dan kaitan aplikasi berkenaan dengan Israel.

Arahan berkuat kuasa serta-merta itu susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, kemudian mengarahkan ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan memastikan arahan berkenaan disampaikan kepada penjawat awam di bawah seliaan masing-masing.

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kemudiannya menjelaskan sekatan itu hanya terpakai kepada penjawat awam sedang menjalankan tugas rasmi.

Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri menggalakkan rakyat Malaysia berhenti menggunakan Waze dan mempertimbangkan aplikasi alternatif buatan tempatan, termasuk TuJu.

Kerajaan menyatakan kebimbangan maklumat pergerakan pengguna dan data peribadi boleh terdedah kepada risiko keselamatan kerana operasi Waze tertakluk kepada undang-undang Israel.

TuJu dibangunkan menerusi kerjasama antara LLM dan Prosignal Consortium Sdn Bhd.

Aplikasi itu menawarkan fungsi navigasi laluan, anggaran masa ketibaan, maklumat tol, kemas kini trafik serta akses kepada siaran langsung kamera CCTV lebuh raya.

Selain itu, pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai kawasan rehat dan rawat (R&R) serta bantuan kecemasan menerusi aplikasi berkenaan.