Infantino tak pernah fikir letak jawatan susulan kegagalan FFE

LONDON: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menepis soalan sama ada beliau pernah mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan susulan kegagalan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) sambil menunjuk kepada sokongan padu daripada ahli gabungan di seluruh dunia.

Tiga bulan selepas berdepan desakan untuk meletakkan jawatan berikutan tindakannya membatalkan cadangan yang menuntut pelaburan swasta dalam entiti baharu bagi mengawal hak komersial berkaitan kejohanan utama FIFA, Infantino kini berada dalam posisi yang kukuh.

Peluangnya untuk dipilih semula semakin mengukuh pada hari Jumaat selepas ketua bola sepak Asia menyokongnya untuk penggal keempat dengan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Syeikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa, menyatakan bahawa Asia bersatu di belakang Infantino.

“Saya dipilih oleh 211 persatuan ahli dari seluruh dunia. Saya fikir apa yang penting ialah dalam organisasi seperti FIFA, wujud pandangan yang berbeza dan sudut pandang yang berlainan,” kata Infantino kepada BBC sambil ketawa menepis soalan sama ada beliau pernah berhasrat untuk berundur.

“Tetapi jika kita serius tentang demokrasi, tentang kepercayaan bahawa setiap orang mempunyai undi dan suara yang sama di seluruh dunia bahawa bola sepak adalah milik semua orang..maka kita juga perlu menghormati pandangan sebahagian besar majoriti.PauseNextMute

“Saya baru sahaja pulang dari Tokyo di mana AFC sudah memberikan sokongan penuh kepada saya. Saya berada di Cape Verde di mana semua negara Afrika turut menyokong saya. Saya berhubung dengan semua persatuan di seluruh dunia.”

AFC sebelum ini pernah menyertai badan bola sepak Eropah (UEFA) dan CONCACAF yang mewakili Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean dalam mengkritik cadangan FFE terbabit.

Namun, CONCACAF yang berpecah serta keputusan AFC untuk mengubah pendirian menyebabkan Eropah semakin terasing, sekali gus mendedahkan ketiadaan calon alternatif yang mampu mencabar jawatan presiden FIFA.

Infantino berhasrat untuk bertanding bagi penggal keempat sehingga tahun 2031 dan calon-calon yang berpotensi perlu mengemukakan pencalonan mereka sebelum 18 November.

Beliau sudahpun memohon maaf dalam mesyuarat Majlis FIFA di Zurich minggu lalu berhubung cara pengendalian cadangan FFE terbabit namun hal itu masih tidak memujuk persatuan bola sepak Eropah seperti Jerman dan England.

Walau bagaimanapun, tokoh berusia 56 tahun berketurunan Switzerland-Itali itu menambah ‘tidak mengapa untuk tidak bersetuju..tetapi kemudian kita perlu bergerak ke hadapan.’

“Terdapat sudut pandang yang berbeza. Tidak selalunya mudah untuk menyatukan semuanya di bawah satu bumbung tetapi kita perlu menghormati dan saya menghormati semua pendapat serta pandangan.

“Selepas ini, terserah kepada persatuan-persatuan ahli FIFA untuk memutuskan siapa yang mereka mahukan sebagai presiden dan bagaimana mereka mahu FIFA dikendalikan.” -REUTERS