KUALA LUMPUR – Amalan pengeluaran wang persaraan awal boleh menjejaskan keselamatan kewangan pesara untuk tempoh panjang sekali gus meningkatkan risiko golongan itu untuk menghabiskan wang simpanan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ini kerana jumlah ahli KWSP pada masa ini yang memenuhi ambang simpanan asas adalah kecil.
“Manakala lebih 58 peratus rakyat yang bekerja tidak mencarum di mana-mana skim persaraan formal.
“Jika Malaysia serius untuk membuat persediaan untuk kehidupan 100 tahun, kita mesti memikirkan semula secara asas cara kita bekerja, menyimpan dan melibatkan diri di semua peringkat kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, KWSP sedang meneroka strategi pengumpulan yang dipertingkatkan termasuk pilihan pengeluaran bulanan berstruktur untuk membantu ahli menguruskan risiko umur panjang dan memastikan kemampanan simpanan persaraan mereka.
Katanya, agensi itu juga kini mempergiatkan usaha untuk menggalakkan celik persaraan khususnya dalam kalangan belia, pekerja tidak formal dan kumpulan yang terdedah untuk membina budaya menabung untuk jangka panjang.
“Negara mesti menyelaraskan umur pengeluaran penuh KWSP dengan umur persaraan minimum kebangsaan bagi memastikan peralihan yang berpanjangan dan selamat bagi kehidupan akan datang.
“KWSP kekal komited untuk menjadikan cabaran ini sebagai peluang dengan menyampaikan penyelesaian persaraan yang inklusif, mampan dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

