Ahli perniagaan didakwa tipu RM1.65 juta urus niaga beli dusun durian di Raub

SHAH ALAM: Ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan menipu RM1.65 juta bagi pembelian sebuah dusun durian di Raub, Pahang pada 2024.

Tertuduh, Chan Huann Heng, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, Huann Heng didakwa menipu seorang lelaki iaitu pengarah dan pengerusi sebuah syarikat berusia 66 dengan memperdayakannya bagi menyerahkan wang membabitkan invois sebuah syarikat melalui pindahan akaun berjumlah RM1.65 juta, bagi tujuan pembelian sebuah dusun durian di Raub, Pahang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat import dan eksport sayur-sayuran didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kelab Tropicana, di sini, pada 5 Februari 2024.PauseNextMute

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000.

“Ia mengambil kira kes yang dipertuduhkan membabitkan nilai jutaan ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Dhanesh Subramaniam Nair yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya memberi kerjasama yang baik sejak kes ini disiasat.

Katanya, perniagaan tertuduh yang juga terjejas akibat kes berkenaan selain tertuduh perlu menanggung seorang isteri serta ibu bapa.

“Saya mohon jaminan kira-kira RM50,000,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 November depan.