Zambry Abdul Kadir ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). – Foto UPSI
TANJONG MALIM: Global Educator Award (GEA) perlu berkembang sebagai platform antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan pendidikan, mempromosikan inovasi dan memperkukuh kerjasama merentas sempadan, bukan sekadar menjadi majlis penyampaian anugerah.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, GEA yang memasuki tahun kedua penganjurannya perlu terus diperkasakan sebagai platform global yang dihormati dengan memastikan setiap pengiktirafan berteraskan integriti, kredibiliti dan impak sebenar.
Beliau berkata, pendidik merupakan barisan hadapan dalam membentuk ilmu, nilai dan kemanusiaan, selain memainkan peranan penting melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Guru dan pensyarah mungkin tidak sentiasa menerima pengiktirafan masyarakat, namun sumbangan mereka membentuk generasi. Di sebalik kejayaan setiap pemimpin, saintis atau golongan profesional, lazimnya terdapat seorang pendidik yang berdedikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, semalam.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, yang juga Canselor UPSI.
Zambry berkata, kecemerlangan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik atau kedudukan institusi dalam penarafan antarabangsa semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira impak sebenar pendidik terhadap kehidupan masyarakat.
Menurutnya, pendidik cemerlang boleh dilahirkan di mana-mana sahaja, sama ada di universiti terkemuka, sekolah luar bandar atau institusi komuniti kecil, dengan keupayaan mengubah kehidupan individu menjadi ukuran utama sumbangan mereka.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penganjuran GEA 2026 mencerminkan aspirasi universiti untuk memperluas pengaruh dan kepimpinan dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa.
Katanya, penganjuran edisi kali ini menerima 472 pencalonan dari 83 negara, sebelum 26 finalis dari 11 negara dipilih menerusi proses penilaian yang teliti.
“Melalui GEA, kita bukan sahaja mahu mengiktiraf pendidik cemerlang yang telah membawa perubahan kepada individu, komuniti dan negara, tetapi turut membina jaringan pendidik global untuk berkongsi idea, mencetuskan inovasi serta memajukan kecemerlangan pendidikan merentas sempadan,” katanya.
Pada majlis itu, tujuh individu dan sebuah institusi menerima pengiktirafan menerusi lapan kategori anugerah yang dipertandingkan.
Antara penerima ialah Prof Madya Dr Jayanthi Arasan dari Malaysia bagi Avant-Garde Teacher Award, Dr Mahdi Kolahi dari Iran (Eminent Education Researcher Award), Peter Mokaya Tabichi dari Kenya (Community Outreach Award) dan Prof Madya Dr Evania Yafie dari Indonesia (Esteemed Teacher Educator Award).
Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula menerima Transforming Educational Institution Award, manakala Siti Ainulmursyida Shamsudin dari Malaysia menerima The HONOR EdTech Innovation Excellence Award, Kashmira Jaiswal dari India (Inspiring Educational Leader Award) dan Chan Hung dari Hong Kong (The Legacy Educator Award).
Penerima enam kategori iaitu Avant-Garde Teacher Award, Eminent Education Researcher Award, Community Outreach Award, Esteemed Teacher Educator Award, Transforming Educational Institution Award dan Inspiring Educational Leader Award masing-masing menerima trofi serta geran penyelidikan bernilai RM20,317, manakala penerima The Legacy Educator Award membawa pulang trofi dan geran penyelidikan bernilai RM40,634.
SUMBER : BULETIN TV3
Selamanya Malaysia

