Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. – Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk meneliti semula mekanisme penggunaan senjata api oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi membantu pekebun menangani ancaman musuh tanaman susulan kerugian akibat gangguan hidupan liar yang terus menjejaskan sektor pertanian.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata penelitian itu akan merangkumi aspek kelulusan dan penggunaan senjata api termasuk syarat kelayakan, bentuk kebenaran dan had penggunaannya tertakluk kepada bidang kuasa Polis Diraja Malaysia serta peruntukan undang-undang.
Beliau berkata sebelum ini, anggota RELA yang terpilih dan lulus tapisan pernah dibekalkan senjata api jenis shotgun bagi membantu tugas keselamatan setempat serta operasi membasmi musuh tanaman.
Bagaimanapun, katanya amalan itu dihentikan susulan insiden penyalahgunaan dan kemalangan melibatkan senjata api selain penstrukturan semula tatacara penggunaan senjata api susulan transformasi RELA melalui Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 [Akta 752].
“Pada masa ini, RELA masih boleh membantu operasi bersepadu membasmi musuh tanaman bersama dengan PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan komuniti setempat.
ASTRO AWANI
Selamanya Malaysia

