TANGKAK – Tiga penumpang termasuk dua kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki kemalangan di Kilometer 159.6, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 1.15 petang yang melibatkan MPV jenis Nissan Serena.
“Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dinaiki sebuah keluarga sedang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menghantar salah seorang anak mereka ke sebuah universiti di Melaka.
“Kenderaan yang dinaiki kemudian hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan lalu mengakibatkan tiga penumpang maut.
“Mereka yang meninggal dunia ialah seorang wanita berusia 49 tahun yang berada di tempat duduk hadapan serta anaknya iaitu seorang remaja lelaki berusia 14 dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang duduk di bahagian belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kenderaan berkenaan bersama-sama dua lagi penumpang lain mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette

