Baliklah, mama rindu Mal- rayuan ibu yang 7 tahun menanti kepulangan anak sulung

MELAKA – Seorang ibu di Kampung Pulau Gadong, Klebang Besar di sini masih menantikan kepulangan anak sulungnya yang kali terakhir dilihat keluar dari rumah untuk bekerja di sebuah kilang di Bukit Rambai tujuh tahun lalu.

Asiah Basiron, 51, berkata, dia hanya mahu tahu sama ada anaknya, Muhd Akmal Shahrul Ab Rahim yang kini berusia 28 tahun, berada dalam keadaan selamat atau sebaliknya.

Menurut Asiah, dia masih ingat petang terakhir mereka bersama pada Oktober 2019, kira-kira pukul 5 petang, sebelum anak itu keluar bekerja di sebuah kilang di Bukit Rambai.

Katanya, Akmal yang ketika itu berusia 21 tahun bersalaman dan menciumnya sambil memeluknya sebanyak tiga kali lalu keluar rumah dengan kata-kata, “nanti tak jumpa.”

Sejak petang itu, keluarga tidak lagi menerima khabar daripada anak sulung daripada enam beradik itu malah, setiap kali tiba Aidilfitri, Asiah tetap menunggu Akmal pulang.

“Baliklah Mal, mama rindu Mal, adik-adik pun rindu Mal, ayah rindu Mal. Ayah pun tak sihat Mal, selalu sakit.

“Baliklah Mal, mama rindu Mal, dah tujuh tahun Mal, tiap-tiap hari raya mama tak raya Mal, Mama tunggu, Mal balik, Mama rindu sangat Mal, baliklah Mal,” rayunya ketika ditemui pemberita di rumahnya petang semalam.

Menurut Asiah, kehilangan Akmal tiada kaitan dengan pergaduhan keluarga dan sehingga kini, dia sendiri belum mengetahui punca anaknya hilang.

Dia mendakwa, kira-kira dua bulan sebelum hilang, Akmal pernah bercerita dia berkenalan menerusi Facebook dengan seseorang yang disangkanya wanita bernama Puteri tetapi sebenarnya seorang lelaki berusia 55 tahun ketika itu, namun, punca sebenarnya dia sendiri tidak pasti.

Asiah berkata, beberapa siri laporan polis pernah dibuat berhubung kehilangan Akmal dan pernah berusaha mencari di beberapa lokasi di luar Melaka namun belum berhasil.

Menurutnya, dia sudah menghabiskan banyak wang sepanjang mencari Akmal, termasuk membayar pengamal perubatan tradisional yang mendakwa mampu mengesan dan membawa anaknya pulang, usaha itu juga gagal.“Bila orang kata kat sana akak pergi, kat sini akak pergi. Dah tujuh tahun macam-macam ikhtiar akak dah buatkan.

“Akak mohon, siapa yang mengenali anak akak, hubungilah akak dan pergilah balai polis yang berdekatan,” katanya.

Sepanjang menanggung rindu, Asiah beberapa kali bermimpi melihat Akmal. Dalam satu mimpi, anaknya mahu pulang dan sedang menunggu bas, tetapi bas itu tidak tiba.

Jun lalu, ketika masih menunggu kepulangan Akmal, Asiah kehilangan anak keduanya, Nur Shahkilah Ab Rahim, 27, yang meninggal dunia ketika dalam pantang selepas melahirkan anak ketiga.

Dua anak tertuanya itu, kata Asiah, bagaikan kawan tempat dia meluahkan masalah. Nur Shahkilah juga rapat dengan Akmal dan hingga akhir hayatnya tidak sempat bertemu semula dengan abang yang dirinduinya.

Asiah mengenang Akmal sebagai abang yang bertanggungjawab dan sentiasa menggunakan wang gajinya untuk untuk keperluan rumah termasuk membeli baju sekolah dan baju raya adik-adiknya serta membantu membayar ansuran motosikal ayahnya.

Kini, keluarga itu hanya bergantung pada hasil jualan makanan ringan di hadapan rumah mereka yang kebanyakan pelanggannya dari pelajar sekolah berhampiran.

Asiah yang menghidap darah tinggi dan kencing manis berkata, suaminya, Ab Rahim Yaakob, 53, yang mengalami masalah usus sejak lima tahun lalu, turut merindui anak sulung mereka.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhd Akmal Shahrul boleh menghubungi Asiah di 017-622 6025 atau menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran. – MalaysiaGazzette