KUALA LUMPUR – Presiden Republik Islam Iran Masoud Pezeshkian mengesahkan negara itu sedia untuk menghentikan tindakan ketenteraan dan berdamai jika Isrel menghentikan serangan terhadap wilayah Palestin dan Iran.
Perkara itu disampaikan semasa beliau berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi berkongsi perkembangan terkini konflik Iran dan rejim zionis Israel.
“Beliau turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia pula secara jelas menegaskan pendirian mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah meragut—tidak hanya rakyat biasa—tetapi juga kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran.
Tindakan ini juga melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa.
“Sejak tercetusnya konflik ini, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar.
“Namun, dalam kerangka keadilan sejagat, kami mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya.
Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri,” katanya lagi.
Malaysia juga katanya, menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan. –MalaysiaGazette

