KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dikenali sebagai Hasni Hashim dilaporkan hilang selepas tidak dapat dikesan sejak lebih tiga minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata laporan mengenai kehilangan lelaki itu diterima pada 25 Jun lalu, kira-kira sebulan selepas kehilangannya.
Katanya, Hasni yang berusia 49 tahun, kali terakhir dilihat berada di kawasan Menara Suria, Jalan Subang Mas, Taman Subang Mas, Subang Jaya.
“Menurut laporan, lelaki itu kali terakhir dikesan di lokasi terbabit kira-kira jam 2.40 petang, 27 Mei lalu.
“Sehingga kini, usaha mengesannya masih diteruskan dan kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Wan Azlan berkata Hasni mempunyai ketinggian 170 sentimeter dengan berat 80 kilogram selain berkulit sawo matang, berambut pendek hitam, hidung mancung serta bermata dan bermulut sederhana.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100 untuk membantu siasatan polis.

