Pengerusi MARA ucap tahniah kepada BH sempena ulang tahun ke-68

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan selamat ulang tahun ke-68 kepada Berita Harian (BH) yang diraikan semalam.

Ucapan itu dikongsi oleh Setiausaha Agung UMNO berkenaan menerusi akaun Facebook miliknya.

Akhbar bahasa Melayu pertama dalam tulisan rumi dengan nama Berita Harian itu menemui pembaca pada 1 Julai 1957, yang ketika itu menanti detik penting kemerdekaan, dua bulan kemudiannya.

Ini menjadikan BH berada di landasan tepat untuk mengabadikan bukan sahaja laungan kemerdekaan yang bergema di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957, bahkan merakam setiap saat pemimpin dan rakyat bersama-sama mengisi serta membangunkan negara merdeka.

Semalam Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ria’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah antara yang merakamkan ucapan tahniah kepada BH.

Turut memberi ucapan adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Nizam Jaafar.