KUALA LUMPUR: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menggesa vape segera diharamkan di seluruh negara kerana terbukti ia sekadar memudaratkan kesihatan, selain menjadi langkah awal golongan muda terjebak dadah.
Sultan Pahang bertitah ketika menzahirkan kebimbangan melihat budaya menghisap vape yang semakin menular dalam kalangan remaja di negara ini.
Titah baginda, vape dan rokok elektronik sudah difatwakan haram di Pahang dan kerajaan negeri ini sedang menunggu kelulusan akta bagi pelaksanaannya.
“Vape ini patut diharamkan oleh semua, jangan berasa simpati kepada mereka yang terbabit dalam hal ini kerana ini memudaratkan bangsa dan rakyat.
“Antara punca utama golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape,” titah baginda pada majlis menerima menghadap barisan kepemimpinan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini, kelmarin.
Pada 11 Jun lalu, kerajaan Pahang bersetuju mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu dan fatwa pengharaman dikeluarkan Pejabat Mufti Pahang.

