KUALA LUMPUR: Minyak sawit bersama pelbagai peralatan bernilai RM212,200 dirampas dalam serbuan di sebuah kilang di Puchong menerusi Op Sawit oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kelmarin.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pasukannya mengesan lori membawa muatan mencurigakan di kawasan Klang dan disyaki terbabit aktiviti penyeludupan minyak di daerah itu, kira-kira jam 4 petang hari terbabit.
Katanya, pasukan operasi kemudian mengekori kenderaan itu sehingga tiba di sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong Utama, kira-kira jam 5.30 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama penjaga premis lelaki warga tempatan berusia 44 tahun berada di lokasi terbabit.
“Pemeriksaan ke atas lori menemukan empat tong bekas pukal (IBC) berisi kira-kira 4,000 liter minyak sawit serta satu unit pam bermotor dengan hos.PauseNextMute
“Di dalam premis, ditemukan satu tangki penapis berisi kira-kira 500 kilogram minyak sawit terpakai, dua unit pam bermotor berserta hos serta lima tangki disyaki mengandungi minyak sawit mentah dengan anggaran isi padu keseluruhan 13,500 liter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan atas kesalahan memiliki keluaran minyak sawit tanpa lesen sah, manakala semua barang rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM212,200 dibawa ke Pejabat MPOB Wilayah Selatan untuk tindakan lanjut.
Operasi itu dilaksanakan bagi membanteras penyeludupan minyak sawit mentah menggunakan kenderaan perdagangan di jalan raya dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap pesalah.
Operasi bermula jam 10 malam Khamis hingga 6 petang kelmarin membabitkan seorang pegawai dan 15 anggota JSPT Bukit Aman serta sembilan Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPOB.
Kes disiasat mengikut Kaedah 5 Peraturan-Peraturan LMSM (Pelesenan) 2005 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

