KUALA LUMPUR: Kelab gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan pramusim mereka selepas mengikat juara La Liga 2, Levante UD 0-0 di pusat latihan kelab itu, awal pagi tadi.
Meskipun terikat tanpa jaringan namun keputusan itu setidak-tidaknya memberi gambaran betapa skuad bimbingan Xisco Munoz setanding dengan Levante yang akan beraksi dalam saingan La Liga musim depan.
Pada aksi terbabit, pemain sensasi negara Arif Aiman Hanapi diturunkan dalam kesebelasan utama dan diberi tanggungjawab sebagai kapten.
Tiga pemain warisan baharu negara – Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo – turut diletakkan dalam kesebelasan utama oleh Munoz, jurulatih berasal dari Sepanyol.
Ia adalah keputusan seri kedua berturut-turut dilakar skuad Harimau Selatan selepas turut terikat 2-2 menentang pasukan Liga Satu Inggeris, Cardiff City sebelum ini.

Dua perlawanan pertama bagi pramusim mereka di Sepanyol menyaksikan mereka membelasah Real Murcia Imperial 4-0 disusuli menang 1-0 ke atas kelab yang berpangkalan di Elche, Costa City.
Selepas ini, mereka akan menentang satu lagi pasukan dari Sepanyol iaitu Valencia Mestalla pada 14 Julai.
Mereka kemudiannya akan berdepan tiga pasukan dari Timur Tengah – dua dari Qatar, Al Rayyan SC (16 Julai) dan Al Arabi SC (19 Julai).
Riyadh SC akan menjadi lawan terakhir mereka pada pramusim ini kali ini pada 21 Julai.

