Australia enggan beri komitmen kerah tentera ke zon konflik

SYDNEY: Australia tidak akan membuat komitmen awal untuk mengerahkan tentera ke sebarang konflik, kata Menteri Industri Pertahanan, Pat Conroy, hari ini.

Ia susulan laporan bahawa Pentagon mendesak sekutunya itu menjelaskan pendiriannya jika tercetus perang antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung Taiwan.

Australia mengutamakan kedaulatannya dan tidak membincangkan perkara bersifat andaian, kata Conroy dalam temu bual bersama Australian Broadcasting Corporation (ABC).

“Keputusan untuk menghantar tentera Australia ke medan konflik akan ditentukan oleh kerajaan yang memerintah pada masa itu, bukan lebih awal, tetapi oleh kerajaan semasa,” katanya.

Akhbar Financial Times pada Sabtu melaporkan bahawa Timbalan Setiausaha Pertahanan AS bagi Dasar, Elbridge Colby, mendesak pegawai pertahanan Australia dan Jepun menyatakan pendirian mereka sekiranya berlaku konflik di Taiwan.

Desakan itu dianggap keterlaluan kerana AS sendiri tidak memberi jaminan mutlak untuk mempertahankan pulau itu.

Colby dalam hantaran di X berkata, Jabatan Pertahanan AS sedang melaksanakan agenda ‘Dahulukan Amerika’ oleh Presiden AS, Donald Trump untuk.

Ia bagi mengembalikan langkah pencegahan, termasuk menggesa sekutu meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan usaha lain berkaitan pertahanan bersama.

China mendakwa Taiwan, yang mempunyai pentadbiran sendiri secara demokratik, sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk menguasai pulau itu.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te, menolak tuntutan kedaulatan China, dengan menegaskan hanya rakyat Taiwan berhak menentukan masa depan mereka.

Conroy berkata, Australia bimbang dengan pembangunan ketenteraan China yang merangkumi keupayaan nuklear dan konvensional, serta mahu memastikan Indo-Pasifik kekal seimbang tanpa dikuasai mana-mana negara.

“China sedang berusaha mendapatkan pangkalan tentera di rantau ini dan kami bekerja keras untuk menjadi rakan keselamatan utama pilihan di rantau ini kerana kami tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang menguntungkan Australia,” katanya, merujuk kepada Kepulauan Pasifik.

Isu keselamatan dijangka dibincangkan ketika Perdana Menteri, Anthony Albanese, bertemu pemimpin China minggu ini. Beliau tiba di Shanghai semalam untuk lawatan selama enam hari.

Latihan perang terbesar Australia bersama AS, Talisman Sabre, yang membabitkan 30,000 anggota tentera dari 19 negara, bermula hari ini di Pelabuhan Sydney.

Latihan itu akan meliputi kawasan seluas 6,500 kilometer, dari wilayah Australia di Lautan Hindi, Pulau Christmas, hingga ke Laut Coral di pantai timur Australia.

Conroy berkata, tidak mustahil tentera laut China akan memantau latihan itu bagi mengumpul maklumat, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

AS ialah sekutu keselamatan utama Australia, walaupun Australia tidak membenarkan pangkalan tentera asing dibina di negaranya.

Tentera AS sedang meningkatkan kehadiran secara bergilir dan simpanan bahan api di pangkalan Australia, termasuk kehadiran kapal selam kelas Virginia milik AS di pelabuhan Australia Barat mulai 2027.

Penganalisis menjangkakan kapal selam itu akan memainkan peranan penting dalam menyokong kekuatan tentera AS sekiranya tercetus konflik di Taiwan. – REUTERS