Tegas tangani rasuah bukan dendam lama – PM

PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan tegas yang diambil menangani isu rasuah khsususnya rompakan hasil negara bukan kerana dendam lama.

Sebaliknya, tegas beliau, ia lebih kepada mahu membersihkan negara gejala rasuah tanpa mengira pangkat dan peringkat umur selain harga barang yang melonjak tinggi juga dapat diturunkan sekiranya rompakan hasil negara dihentikan.

“Kalau orang itu (ambil) rasuah dia patut bimbanglah, kalau tak rasuah dia tak perlu takut. Ini orang yang rasuah puluh-puluh bilion tak berani sentuh.

“Bila polis sarjan ambil RM200 orang marah habis, saya tidak kata itu betul, memang salah tetapi orang yang ambil RM10 billion disebabkan kuasa tidak berani sentuh? bahkan ada ahli Parlimen sokong lagi, siap kata dia orang tua, jadi kalau orang tua rompak boleh? Kalau orang tua rogol boleh? Ini hang belajar mana?

“Ini mereka kata dendam, kes lama? Kalau ambil RM200 saya boleh maafkan tetapi kes lama ambil RM20 billion yang itu adalah duit rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perda, di sini, hari ini.

Tambah Anwar, beliau tidak mencampuri urusan mana-mana pihak berkuasa, namun usaha memerangi rasuah dilakukan secara menyeluruh.

“Saya dah bagitau hang Datuk, Datuk Seri ka, Tan Sri ka, Tun ka, hang baik kita salute (hormat) hang rompak kita tangkap sumbat dalam penjara tapi itu bukan kerja saya.

“Kerja polis tangkap, kerja SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia siasat dan kerja peguam negara dakwa manakala kerja hakim putuskan, dan kerja Agong (YDPA) kalau beliau nak kurangkan kes (pengampunan),” katanya.

Mengulas lanjut Anwar turut memaklumkan kajian mengenai kenaikan gaji penjawat sedang dilakukan.

“Pada tahun ini, saya kaji nak naikkan gaji penjawat awam sebab sudah 10 hingga 12 tahun tidak pernah naik. Untuk buat perkara ini nak ambil duit dari mana?

“Jadi saya minta kawan-kawan faham mengapa ada kes saya tidak mahu tolak ansur, hang makilah berbakul-bakul pun, serangla guna apa pun tetapi saya tidak akan bertolak ansur dari perompak (hasil negara) kerana Allah takdirkan saya jadi PM, saya nak guna peluang ini bersihkan negara,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *