KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) jelas menambah sengat mereka untuk mengharungi musim 2024/25 selepas berjaya mendapatkan dua pemain kebangsaan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Namun bekas pemain Johor, Rizal Sukiman berpandangan kemasukan dua pemain itu ke skuad ‘Penyu’ tampak belum cukup sekiranya mereka mahu mencabar skuad Harimau Selatan untuk merangkul kejuaraan Liga Super musim depan.
Dengan ‘gentleman agreement’ yang menyaksikan dua pemain itu tidak dapat diturunkan ketika berdepan JDT, situasi itu sudah memberi kelebihan yang besar buat JDT dalam misi meneruskan dominasi buat tahun ke-11 berturut-turut dalam Liga Super.
“Kita lihat ada kelompok pasukan bergelut dapatkan lesen, pasukan yang sekadar melengkapkan saingan dan pasukan yang bersaing untuk tempat kedua ataupun slot ke Asia. Saya tidak nampak ada pasukan yang betul-betul boleh bagi saingan.
“JDT bijak apabila menyatakan dua pemain ini tidak boleh diturunkan apabila lawan mereka, jadi kita lihat TFC bukan bersaing untuk juara tetapi hanya boleh bersaing untuk naib juara.
“Saya tidak tahulah kalau selepas ini TFC akan mengambil pemain yang lebih hebat tetapi buat masa sekarang, saya lihat tidak perkembangan yang ‘wow’ daripada TFC.
“Pasukan lain cuba mengejar JDT namun kita harus ingat, JDT pada musim lalu tidak sama untuk musim depan. Ketika mereka mengejar JDT berdasarkan kekuatan musim lalu, JDT sudah memecut ke depan untuk musim baharu nanti,” kata Rizal.
Bagaimanapun, Rizal menegaskan dia bukan memandang rendah kemampuan pasukan lain namun berdasarkan kekuatan dan pencapaian di atas kertas, juara ‘double quadruple’ itu tampaknya sukar dicabar dan sudah berada pada kelas yang berbeza berbanding pencabar lain.
“JDT sudah melangkah dua atau tiga tapak ke depan tetapi bola itu bulat dan apa sahaja boleh berlaku. Mungkin ada harinya di mana pemain JDT tidak berada pada tahap yang terbaik jadi pasukan lain jangan berputus asa.
“Teruskan berjuang di atas padang dan ambil pandangan ini sebagai suntikan motivasi untuk memberi cabaran kepada JDT,” katanya.