Pemegang kad UNHCR dipercayai dalang bekal pekerja asing tidak sah ditahan

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Rizzuan Mohd Zain menunjukkan pasport warga asing yang dirampas selepas sidang media mengenai penangkapan 33 warga asing di dua lokasi di Sungai Petani, semalam. – Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan bersama 32 warga negara itu di dua lokasi di Sungai Petani, semalam.

Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata turut ditahan adalah isteri kepada lelaki terbabit yang berusia 55 tahun serta anak perempuan mereka berusia 14 bulan dalam operasi pada pukul 10.25 malam semalam.

Beliau berkata lelaki pemegang kad UNHCR berusia 53 tahun itu dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan membekal pekerja asing tidak sah di sekitar kawasan utara tanah air yang disyaki aktif sejak pertengahan tahun lepas.

“Dalam serbuan di lokasi pertama di Taman Ria Jaya, seorang lelaki yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan ditangkap bersama lima perempuan dan satu kanak kanak perempuan warganegara Myanmar yang dipercayai tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk tinggal di negara ini.

Hasil soal siasat ke atas lelaki itu membawa serbuan kedua di sebuah lagi premis di Taman Batik dan seramai 26 orang warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan 16 perempuan yang tidak memiliki pas atau permit yang sah telah ditahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

KREADIT : ASTRO AWANI