Perang Gaza: Ekonomi Israel menguncup hampir 20 peratus

BAITULMAQDIS: Perang Gaza yang berterusan menyebabkan ekonomi Israel menguncup 19.4 peratus pada suku terakhir 2023, menurut Biro Pusat Perangkaan negara itu semalam, hampir dua kali ganda jangkaan pasaran.

“Penguncupan ekonomi pada suku keempat 2023 terjejas secara langsung akibat tercetusnya perang pada 7 Oktober,” kata biro perangkaan itu.

Angka awal yang dikeluarkan oleh biro itu menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut 19.4 peratus secara tahunan dalam tiga bulan terakhir tahun lalu.

Ia berkata penurunan itu didorong oleh kejatuhan 26.9 peratus dalam penggunaan swasta, kerana keyakinan menjunam di tengah-tengah perang Gaza dan isi rumah mengurangkan perbelanjaan.

Memetik laporan Agensi Anadolu, pada suku pertama 2023, kadar pertumbuhan KDNK ialah 3.1 peratus, 2.8 peratus pada suku kedua dan 2.7 peratus pada suku ketiga.

Untuk sepanjang 2023, ekonomi Israel berkembang 2 peratus, turun daripada 6.5 peratus pada 2022.

Israel telah melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza berikutan serangan Hamas yang menurut Tel Aviv membunuh hampir 1,200 orang.

Serangan Israel berikutnya telah membunuh hampir 29,092 dan mencederakan kira-kira 69,028 dengan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan keperluan.

Peperangan Israel ke atas Gaza telah mendorong 85 peratus daripada penduduk wilayah itu ke dalam perpindahan dalaman di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus daripada infrastruktur wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *