Gajah liar musnahkan tanaman, pekebun tanggung rugi besar

KUALA KRAI: Kira-kira 200 pekebun di Kampung Sungai Rek berada dalam kebimbangan apabila gajah liar menceroboh, memusnahkan serta memakan hasil tanaman mereka sejak minggu lalu.

Menurut Rosdi Mohamad, 64, dia mengalami kerugian hampir RM40,000 selepas ladang kelapa sawit miliknya seluas 5.6 hektar dirosakkan gajah liar.

Katanya, dalam kejadian pada Isnin lalu, 850 pokok anak kelapa sawit yang baharu ditanam pada hujung Januari lalu dirosakkan haiwan berkenaan.

“Bagi mengelakkan ancaman gajah liar, saya sudah memasang pagar serta kawat berduri di sekeliling ladang, namun ia tetap dapat diceroboh haiwan ini.

“Pada waktu siang, gajah liar ini bersembunyi di hutan berdekatan dan masuk ke kawasan ladang pada waktu malam serta merosakkan tanaman yang diusahakan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Rek, di sini, semalam.

Rosdi berkata, kehadiran haiwan itu bukan sahaja meresahkannya yang baharu kali pertama berdepan situasi itu, namun turut dirasai pekebun lain yang mengalami kerugian.

“Kebanyakan penduduk juga tidak berani ke kebun atau ladang untuk mencari rezeki kerana bimbang keselamatan diri sekiranya mereka terserempak dengan gajah liar apatah lagi kesan tapak kakinya juga berada di merata-rata di sekitar kawasan ladang.

“Penduduk di sini bergantung hidup dengan mencari rezeki sebagai pekebun dan penoreh dan punca pendapatan terputus kerana mereka takut ke kebun,” katanya.

Nasib sama turut dilalui Fauzi Abdullah, 52, apabila dia mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas 250 pokok kelapa sawitnya dirosakkan gajah liar.

“Sebelum ini saya menanam pokok getah, namun pada Julai tahun lalu saya mengusahakan tanaman kelapa sawit dan mengeluarkan modal sebanyak RM10,000 untuk membeli anak pokok selain kerja-kerja meratakan tanah.

“Bagaimanapun, kehadiran gajah liar pada minggu lalu di kawasan ladang melenyapkan keseluruhan pokok kelapa sawit yang ditanam diatas tanah berkeluasan 1.6 hektar.

“Apabila berlaku situasi ini, saya bimbang untuk melakukan tanaman semula kerana ia memerlukan peruntukan kewangan yang besar selain risiko pokok yang ditanam itu mungkin dirosakkan gajah lagi selepas ini.

“Justeru, saya berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat segera

menghalau gajah liar ini daripada terus merosakkan tanaman penduduk,” katanya.

Sementara itu, Manshor Mahmood, 70, turut meluahkan kekecewaan berikutan mengalami kerugian RM35,000 setelah 350 tanaman pokok kelapa sawitnya musnah dan hanya menunggu tempoh setahun lagi untuk mengeluarkan hasil.

“Nak tanam pokok kelapa sawit ambil masa sehingga dua tahun untuk dapatkan hasil, tetapi dalam sekelip mata semuanya musnah akibat dirosakkan gajah liar.

“Saya menanam pokok kelapa sawit untuk mengisi masa lapang selain tidak mahu ladang yang berkeluasan 2.4 hektar ini terbiar, namun lain pula jadinya apabila terpaksa menanggung kerugian sebelum hasilnya diperoleh,” katanya.

Katanya, dia amat berharap agar pihak berkenaan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian berlaku secara berterusan.