Sultan Ibrahim sokong langkah penjimatan, subsidi bersasar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan sokongan terhadap langkah penjimatan yang dilakukan kerajaan termasuk memperkenalkan subsidi bersasar.

Sultan Ibrahim bertitah, langkah itu perlu berikutan kedudukan kewangan negara yang telah lama lemah serta tanggungan hutang yang semakin melebar.

“Saya berasa kecewa apabila dimaklumkan bahawa kerajaan tanggung beban hutang semakin besar. Ini disebabkan sejak 1968 kerajaan sentiasa berada dalam defisit kekal.

“Adakah beban ini akan kita tinggalkan untuk ditangung anak cucu kita nanti? Jawapannya adalah pada semua ahli dewan di sini.

“Keadaan kewangan kerajaan yang telah lama lemah, akan menyukarkan kerajaan melaksana projek pembangunan baharu, atau memberikan suntikan kewangan, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, “titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen, hari ini. Berangkat sama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim bertitah, dasar baharu yang lebih menyeluruh perlu diteruskan dan diperkenalkan.

Ini antaranya Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang disifatkan sebagai langkah pembaharuan bagi meningkatkan urus tadbir pengurusan kewangan supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

“Saya juga akan meneliti perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.

“Saya berharap semasa pemerintahan saya ini kerajaan akan memperolehi lebihan fiskal setiap tahun.

“Kerajaan juga mesti bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewengan dana awam,” titah Sultan Ibrahim.

Menurut baginda, kelemahan urus tadbir di semua peringkat perlu diperiksa termasuk di dalam badan berkanun dan syarikat milik kerajaan serta anak syarikat.

Sementara itu baginda menyambut baik kedudukan Malaysia di tangga ke-29 Indeks Daya Saing Dunia 2023 dalam aspek kecekapan kerajaan yang memerlukan usaha berterusan untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Baginda menegaskan, jentera kerajaan perlu meningkatkan kecekapan dan mengamalkan prinsip integriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai.

“Saya tidak suka dengan sistem yang banyak redtape oleh itu kecekapan proses kerja, tadbir urus setiap agensi kerajaan mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.

“Agensi penguatkuasa juga hendaklah menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, semua kes yang telah dibawa ke mahkamah mestilah diadili supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara sentiasa terpelihara.
– MalaysiaGazette

Source :