232 PATI tinggal di rumah teres separuh siap dicekup

MELAKA – Seramai 232 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu Operasi Bersepadu Op Sapu di Tiang Dua di sini awal pagi tadi.

Dalam serbuan bermula pukul 11 malam sehingga 3 pagi itu seramai 356 warga asing diperiksa sebelum 232 PATI berusia antara 24 hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, mereka terdiri daripada 82 lelaki dan 12 wanita Indonesia, 134 lelaki Bangladesh, seorang Pakistan dan tiga lelaki Myanmar.

“Semasa serbuan terdapat kejadian beberapa PATI cuba melolosan diri dengan menyorok di dalam longkang dan bersembunyi di bawah rumah kongsi didiami.

“Selain itu, terdapat beberapa warga asing yang mendiami rumah teres separuh siap di tapak projek perumahan itu mungkin berpunca daripada rumah kongsi yang dah tak cukup,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi pagi tadi.

Menurutnya, operasi melibatkan seramai 160 pegawai dan anggota daripada JIM Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan, Jabatan Pendaftaran Negara serta Angkatan Pertahanan Awam.

Anirwan berkata, kesalahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) AI 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Tambahya, semua tahanan dibawa akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen, Machap Umboo. – MalaysiaGazette

Source :