Malaysia, Australia desak gencatan senjata serta-merta di Gaza

MELBOURNE: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkongsi kebimbangan akan situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza susulan peperangan yang meletus pada 7 Oktober tahun lalu, sekali gus mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan serta-merta.

Kenyataan bersama Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia menyebut, semua pihak perlu menghormati nyawa orang awam dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Mereka mengulangi desakan bagi akses kemanusiaan yang selamat, tanpa halangan dan berterusan di Gaza, laluan selamat untuk orang awam, serta pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju Malaysia dan Australia menyokong teguh keamanan dan keperluan untuk satu resolusi politik yang mencapai penyelesaian dua negara, di mana penduduk Israel dan Palestin boleh hidup dengan aman, manakala keselamatan dijamin dalam sempadan yang dipersetujui secara antarabangsa, berpandukan kepada garis sebelum 1967,” katanya.

Kenyataan itu menambah, kedua-dua pemimpin juga menyatakan kebimbangan mendalam mereka terhadap kesengsaraan berterusan penduduk Myanmar berikutan rampasan kuasa oleh tentera pada 2021, dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam yang berterusan.

Menurutnya, Anwar dan Albanese mendesak supaya rejim tentera mengambil tindakan konkrit untuk segera menghentikan kekejaman, membebaskan mereka yang ditahan secara tidak adil, membenarkan akses untuk penghantaran bantuan kemanusiaan serta berbincang dalam dialog negara yang inklusif.

“Kedua-dua pemimpin mengesahkan sokongan mereka terhadap usaha diterajui ASEAN dan Konsensus Lima Perkara bagi menangani krisis politik di Myanmar, yang patut dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Perdana Menteri Malaysia dan Australia juga membincangkan situasi membimbangkan di Ukraine susulan pencerobohan Russia.

Kenyataan itu berkata, mereka memperakui impak krisis itu terhadap rantau ini, terutama ke atas bekalan makanan dan tenaga.

“Konsisten dengan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No. ES-11/6 bertarikh 23 Februari 2023, kedua-dua pemimpin mendesak Russia supaya menarik keluar angkatan tentera dari wilayah Ukraine dalam sempadan antarabangsa yang diiktiraf, serta menggesa supaya mencapai satu keamanan yang komprehensif di Ukraine secepat mungkin, konsisten dengan Piagam PBB, termasuk prinsip kedaulatan dan integriti wilayah negara.

“Kedua-dua pemimpin menggesa Russia untuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine. Anwar dan Albanese mendesak supaya akses bantuan kemanusiaan diberikan kepada mereka yang memerlukan di Ukraine, selain pematuhan kepada norma kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak manusia,” katanya.

Kredit: Berita Harian