Peluasan skop SST babit sektor perkhidmatan langkah terdesak, beri impak kepada rakyat – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan memperluaskan skop kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) membabitkan beberapa sektor perkhidmatan baharu didakwa sebagai satu langkah ‘terdesak’ yang dijangka memberi impak lebih besar kepada bebanan kos sara hidup rakyat.

Membangkitkan perkara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mempersoalkan antaranya tindakan kerajaan yang memasukkan perkhidmatan penyenggaraan atau pembaikan dalam SST.

“Cukai (penyenggaraan dan pembaikan) ini dikuatkuasakan menggunakan pintu belakang.

“Ia dimasukkan pada minit terakhir, tak dibincangkan di Parlimen, malah tiada sesi konsultasi. Ia terus diwartakan pada 23 Februari dan dilaksanakan pada 26 Februari.

“Malah, langkah itu terus dikecam pakar kerana ia dibuat secara terburu-buru, tanpa ada ketelusan langsung,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini rakyat turut musykil mengenai perkhidmatan yang bagaimana dalam skop itu akan dikenakan cukai.

“Adakah ia akan termasuk kadar untuk baiki komputer riba, telefon pintar, kereta dan banyak lagi barangan lain. Ini akan tingkatkan kos sara hidup rakyat.

“Sebab itu perkara begini jangan buat minit akhir. Jangan gunakan pintu belakang kerana terdesak dan akhirnya sanggup menipu, sedangkan ada Parlimen sebagai platform terbaik,” katanya.

Beliau turut membangkitkan panggilan yang didakwa diberikan rakyat kepada Kerajaan Madani yang kini bertukar kepada ‘Kerajaan mahal dah ni’ disebabkan kegagalan mengawal dan mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan isu berkaitan bebanan didepani rakyat.

Sementara itu, Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) ketika bangkit mencelah mempersoalkan kewajaran perluasan SST bagi perkhidmatan logistik.

“Bukan saja rakyat tak faham, tetapi nampaknya Menteri Komunikasi dan Digital (Fahmi Fadzil) sendiri tak faham. Dalam poster dikeluarkan (Fahmi), dikatakan logistik tak termasuk dalam SST, sedangkan ia skop perkhidmatan baharu dan dikenakan cukai sebanyak enam peratus.

“Dalam pembentangan Belanjawan lepas, Menteri Kewangan ada berkata akan laksanakan sesi libat urus kerana ramai bangkitkan (mengenai cukai ini)… akhirnya ia dimasukkan juga.

“Apa yang lebih dikhuatiri, banyak cukai atas cukai bakal dikenakan. Jadi, saya ingin tanya apakah pendekatan Kementerian Kewangan untuk menangani perkara ini,” katanya.

Bermula 1 Mac 2024, kadar baharu SST dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.

Langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.

Kredit: Berita Harian