Kenaikan SST tidak bebankan golongan rentan – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR – Peluasan skop dan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6.0 kepada 8.0 peratus tidak membebankan golongan rentan kerana ia tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas dan gaya
hidup rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, makanan dan minuman, telekomunikasi, parkir kenderaan dan logistik / kekal dikenakan pada kadar 6%.

“Langkah mengecualikan perkhidmatan seperti makanan dan minuman adalah bukti walaupun kerajaan bertindak meluaskan asas hasil untuk negara, kerajaan tidak akan sekali-kali mengabaikan kepentingan majoriti rakyat.

“Keputusan kita melaksanakan reformasi cukai adalah secara progresif supaya kesannya adalah kurang dan tidak membebankan majoriti rakyat.

“Dalam pertimbangan cukai, kerajaan memastikan kesannya tidak membebankan golongan rentan lebih-lebih lagi melibatkan keperluan asas, kerajaan akan terus melindungi kebajikan rakyat setiap masa,” katanya menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Ampang, Radziah Ismail (Pakatan Harapan) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Dalam sesi itu, Radziah bertanya apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan syarikat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga dan mengaut keuntungan berlebihan.

Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan pemantauan dan penguatkuasaan sejak 1 Mac lalu bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga perkhidmatan secara tidak munasabah.

Kerajaan akan terus meningkatkan tahap pemantauan dan penguatkuasaan ke atas mana-mana pengusaha yang mengambil kesempatan menaikkan harga perkhidmatan secara berlebihan, lebih-lebih lagi oleh mereka yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai
perkhidmatan.

“Kerajaan akan terus meningkatkan tahap pemantauan dan penguatkuasaan kepada mana-mana peniaga menaikkan mana-mana perkhidmatan secara berlebihan lebih-lebih lagi yang tidak terlibat dalam cukai perkhidmatan

“KPDN telah memulakan Ops Kesan 2024 bermula 1 Mac 2024 bagi memantau impak pelaksanaan peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8%.

“”Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pengusaha yang menaikkan harga secara tidak munasabah dan melanggar perundangan berkaitan pencatutan dan membebankan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Source :