Pekerja maut tertimbus di tapak perlombongan

Anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting mengeluarkan mangsa yang tertimbus. FOTO Ihsan BOMBA

Kuala Langat: Seorang pekerja tapak perlombongan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Sungai Kelambu, Banting di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 12.34 tengah hari.

“Kejadian berlaku jam 12 tengah hari, apabila dua jentera mesin jengkaut yang sedang beroperasi dihimpit tanah sebelum tertimbus dalam runtuhan itu.

“Semasa kejadian, salah seorang daripada pemandu jengkaut itu, seorang lelaki tempatan berjaya menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun seorang pemandu lagi juga lelaki tempatan tidak sempat untuk menyelamatkan diri kerana terhimpit dan tertimbus dengan runtuhan tanah liat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa jam 1.45 petang dan disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa adalah pekerja di lombong terbabit.

“Tiada sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) disebabkan kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Source :