Pengukuran semula pinjaman peneroka antara punca Felda rugi lebih RM1b

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM19.560 juta pada tahun 2022.

Manakala keuntungan yang dicatatkan sebelum cukai bagi tempoh tersebut sebanyak RM449 juta.

Bagaimanapun, Felda mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM1.005 bilion disebabkan tiga faktor iaitu kesan ke atas penyahiktirafan dan pengukuran semula pinjaman peneroka dengan nilai RM339.01 juta bagi meringankan beban warga peneroka.

Selain itu, penjamin korporat bagi pinjaman pembelian PT Eagle High Plantations yang dibuat melalui FIC Properties Sdn Bhd sebanyak RM379.85 juta dan penjejasan pinjaman kepada anak-anak syarikat seperti Kumpulan FIC dan Dataran Aras Sdn. Bhd. berjumlah RM192.66 juta.

Menurut Felda, kerugian ini tidak merujuk kepada salah guna, amalan rasuah dan kelemahan tata kelola pengurusan.

Felda akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan tadbir urus yang telus dan mengoptimumkan kecekapan produktiviti agar agensi ini relevan pada masa hadapan.

Semalam, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai penyata kewangan Agensi Persekutuan 2022 melaporkan kerugian bersih Felda berjumlah RM1.005 bilion.

Felda didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai yang rendah berbanding kerugian dengan nilai RM0.808 bilion berakhir 31 Disember tahun 2022.

“Geran kerajaan yang diterima oleh Felda pada tahun 2022 berjumlah RM0.214 bilion (2021: RM0.342 bilion). Felda bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan persekutuan untuk menampung kos operasi dan liabiliti.

“Felda mempunyai komitmen yang tinggi untuk melunaskan pembiayaan yang diterima sehingga tempoh matang. FELDA memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan berjumlah RM7.973 bilion dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM0.686 bilion,” kata laporan berkenaan.

Malah Felda mempunyai komitmen bayaran balik Kemudahan Pembiayaan Tawarruq kepada sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) sejumlah RM50 juta setahun bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2024.

“Baki bayaran balik berjumlah RM2.595 bilion perlu dibuat mengikut jadual dalam tempoh 15 tahun mulai tahun 2029,” menurut laporan tersebut. – MalaysiaGazette

Source :