Pelajar lelaki maut, rakan parah dirempuh kereta selepas terpelanting

SEBERANG PERAI – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun terkorban dalam nahas di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai di sini, hari ini.

Manakala pemboncengnya yang merupakan remaja perempuan berusia 15 tahun pula, parah dalam insiden jam 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, hasil siasatan mendapati pasangan remaja itu dalam perjalanan dari arah pulau menghala ke Perai.

Jelas beliau, ketika dalam perjalanan motosikal yang ditunggangi mereka terbabas lalu melanggar tembok pembahagi jalan.

”Mereka terpelanting ke laluan bertentangan dan kereta yang datang dari arah tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-dua mangsa.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal maut di lokasi manakala pemboncengnya parah dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Helmi, orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah Seberang Perai Tengah di talian 04 530 1342 bagi membantu siasatan.

Source :