Warga emas dituduh bunuh abang, kakak ipar

LUMUT – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh abang dan kakak ipar menggunakan sabit di kebun sawit di Pantai Remis awal bulan lalu.

Tertuduh, Chee Kooi Jeng, 63, mengangguk faham selepas dua pertuduhan itu dibacakan dalam Bahasa Cina di hadapan Majistret, Nurul Izalina Rajaai.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat telah membunuh Chee Khoi Sia, antara jam 3 hingga 3.30 petang di sebuah ladang kelapa sawit di Mukim Pengkalan Baharu, Pantai Remis, dalam Daerah Manjung, pada 5 Mac lalu.

Dia juga dituduh dengan niat membunuh, Koh Eng Lai, 70, di jam, lokasi, dan tarikh sama.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun, dan boleh dikenakan 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain, manakala tertuduh diwakili Peguam CC Keong.

Tiada jaminan ditawarkan dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 29 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan perubatan.

Terdahulu, tertuduh yang dibawa menaiki kereta tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi.

Media sebelum ini melaporkan, seorang warga emas ditahan selepas dipercayai membunuh abang dan kakak iparnya akibat perebutan harta di kebun sawit dekat Pantai Remis, awal bulan ini.

Kedua-dua mangsa maut selepas cedera di bahagian kepala serta muka selepas diserang lelaki berkenaan dengan menggunakan sabit. – MalaysiaGazette

Source :