Pasar raya tarik balik penjualan kurma Israel selepas tular

Petaling Jaya: Pemilik sebuah pasar raya di sini, dipercayai menarik balik penjualan kurma yang didakwa diimport dari Israel selepas tular mengenai penjualan produk berkenaan.

Tinjauan dilakukan mendapati premis itu bukan sahaja tidak menjual kurma berkenaan, malah semua jenis kurma tidak lagi dijual.

Salah seorang pekerja memaklumkan pasar raya itu ‘popular’ susulan tular laporan berita mengenai penjualan produk dari Israel itu.

Ditanya sejak bila pasar raya berkenaan tidak menjual kurma, pekerja terbabit enggan mendedahkan perkara itu.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pasar raya mendapati tiada kurma dari Israel yang dijual, sebaliknya terdapat kurma dari Amerika Syarikat (AS) dijual.

Pemerhatian dilakukan mendapati ada di antara kotak kurma berkenaan diletakkan pelekat pada bahagian cetakan maklumat pengeluar dipercayai bagi mengaburi mata pembeli.

.Selain kurma dari AS, terdapat juga kurma dari Arab Saudi, Iran, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Tunisia juga ada dijual di pasar raya berkenaan.

Seorang pekerja sebuah kedai barangan dari Timur Tengah yang enggan dikenali berkata, majikannya tidak mengambil kurma yang diimport dari Israel.

“Kami hanya jual kurma dari Palestin, Arab Saudi, Iran dan Tunisia yang dijual serendah RM12 bagi 500 gram sehingga RM95 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Shamsul Akbar Sulaiman berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat berhubung perkara terbabit.

“Kita sedang mendapatkan maklumat. Sebarang maklumat akan dimaklumkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) Maqis nanti,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Source :