Israel bedil gudang makanan UNRWA, komander Hamas terbunuh

GAZA – Seorang kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) terbunuh dan 22 yang lain cedera apabila tentera Israel menyerang pusat pengedaran makanan di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza.

Ketua UNRWA Philippe Lazzarini berkata, serangan ke atas kemudahan itu telah “menjadi perkara biasa oleh Israel yang tidak menghiraukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.

Bagaimanapun Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata, serangan udara Israel membunuh lima orang.

Tentera Israel pula mendakwa membunuh seorang komander Hamas dalam “serangan tepat”.

Mangsa dikenal pasti sebagai Mohammed Abu Hasna dan mendakwa dia pernah menjadi “operasi sokongan tempur” dalam sayap tentera Hamas di kawasan Rafah.

Seorang budak lelaki berusia 15 tahun dan empat lelaki berusia antara 27 dan 50 tahun, salah seorang daripada mereka dipanggil Mohamed Abu Hasna, dilaporkan terbunuh.

Rafah menjadi lokasi perlindungan bagi 1.5 juta rakyat Palestin daripada serangan darat Israel di tempat lain di Gaza.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa serangan terancam Israel ke atas bandar itu boleh “menjerumuskan penduduk Gaza ke dalam lingkaran neraka yang lebih teruk”.

Peperangan di Gaza bermula Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh kira-kira 1,200 orang rakyat Israel dan menjadikan 253 yang lain sebagai tebusan.

Serangan berterusan rejim zionis itu ke atas Palestin telah membunuh lebih 31,200 orang di Gaza.

Serangan hari Rabu dilaporkan melanda bahagian timur pusat pengedaran makanan UNRWA, yang terletak di bahagian timur Rafah.

Jurucakap UNRWA, Juliette Touma berkata, sehingga 60 orang dipercayai telah bekerja di kemudahan itu, yang juga berfungsi sebagai gudang untuk makanan dan bekalan kritikal lain.

“Kami tahu tentera Israel yang bertanggungjawab. Ada yang datang bekerja untuk mengagihkan bantuan kepada orang ramai yang memerlukan makanan pada bulan Ramadan. Tiba-tiba, mereka terkena dua peluru berpandu,” katanya. – Agensi

Source :