Dua ditahan cuba halang tugas

ALOR SETAR: Polis menahan dua individu selepas dikatakan cuba mencetuskan pergaduhan ketika pihak berkuasa melakukan operasi sitaan di kawasan Dataran Medan Bandar, di sini, malam kelmarin.

Kejadian itu turut tular di laman sosial semalam yang memperlihatkan dua individu terbabit terjerit-jerit terhadap pihak penguat kuasa hingga mencabar mereka untuk membuka pakaian seragam, selain mengeluarkan kata-kata kesat.

Tindakan mereka juga seakan tidak mempedulikan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang berkumandang dari Masjid Negeri Kedah iaitu Masjid Zahir yang terletak bertentangan dengan kawasan itu.

Menerusi rakaman video itu, petugas Majlis bandaraya Alor Setar (MBAS) turut dilihat dihalang dua individu yang mencetuskan kekecohan dan pergelutan sebelum dapat dileraikan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata kejadian berlaku jam 11.38 malam ketika seorang pembantu penguat kuasa MBAS sedang melakukan operasi sitaan peniaga di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, tugas penguat kuasa terbabit kemudian dihalang dua individu terbabit yang mencetuskan kekecohan dan pergelutan sebelum dapat dileraikan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Dalam pada itu, sumber MBAS memaklumkan, kawasan terbabit sememangnya menjadi kawasan larangan untuk sebarang perniagaan.

“Terdapat papan tanda besar yang memaklumkan mengenai larangan ini di kawasan itu.

“Malah, notis mengenainya sudah dikeluarkan sejak tahun 2022 termasuk di laman media sosial dan masih terpakai hingga kini.

“Berikutan itu, laporan polis sudah dibuat,” katanya.

Kredit: Berita Harian