Insiden penguat kuasa, pemilik premis bertikam lidah disiasat polis

TANGKAP layar video tular di media sosial

Pasir Gudang: Video kekecohan antara anggota penguatkuasa dan pemilik sebuah premis makan di Taman Rinting yang didakwa berlaku ketika pelanggan sedang makan, di sini, tular di media sosial, sejak malam kelmarin.

Video berdurasi tiga minit 17 saat itu menyaksikan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) didakwa sedang menyita kerusi dan meja restoran berkenaan yang diletakkan di kawasan luar restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku itu

Katanya, insiden berkenaan berlaku di sebuah premis perniagaan di Taman Rinting, Masai, di sini, pada malam Khamis lalu, kira-kira jam 10.25 malam.

“Rakaman video kejadian itu tular di media sosial dan sehingga kini masih boleh diakses warganet di akaun Facebook ‘Kementerian Netizen Malaysia and Kau Tengok Jela selain akaun Tik Tok ‘Ailiff’.

“Siasatan polis mendapati operasi itu dijalankan selari dengan peruntukan Seksyen 50(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Trend, Perniagaan dan Perindustrian 2017, yang memberi kuasa kepada anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita barangan milik premis.

“Dalam operasi itu MBPG telah menyita 64 kerusi dan 12 meja milik pengusaha restoran itu yang diletakkan di laluan pejalan kaki dari bahagian belakang restoran sehingga menyebabkan halangan.

“Ia menyalahi Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana meletakkan alat guna niaga di tempat awam sehingga berlaku halangan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Dalam video tular itu, pemilik premis dilihat meluahkan ketidakpuasan hati dengan nada menjerit.

Pemilik turut mendakwa anggota PBT berkenaan bertindak melulu selain membandingkan tindakan banyak premis makanan sama yang meletakkan kerusi dan meja mereka di luar restoran namun tidak diambil tindakan sama.

Dalam pada itu, Mohd Sohaimi berkata, siasatan dijalankan polis mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Katanya, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan sekali gus boleh menimbulkan salah faham masyarakat,” katanya

Source :