Wanita cemas bayi 19 bulan hampir diculik 2 lelaki

Klang: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bayi perempuannya yang berusia 19 bulan hampir menjadi mangsa culik dua lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah pasar raya dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata dalam kejadian jam 7.30 malam itu, wanita berkenaan sedang menaiki tangga bergerak di pasar raya itu bersama anaknya serta adik perempuan.

“Wanita berkenaan yang memimpin tangan bayinya itu tiba-tiba didatangi dua lelaki warganegara asing dari arah belakang yang mana salah seorang lelaki itu bertindak mengangkat anaknya.

“Wanita berkenaan terus menjerit dan menarik semula anaknya manakala dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap orang awam yang berada di pasar raya itu.

“Dua lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis dan kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis juga menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelak kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook yang memaparkan dua lelaki warga asing yang memakai baju tanpa lengan dan seluar pendek ditahan berdekatan tangga bergerak sebuah pasar raya di Klang.

Source :