‘Kita harap Kelantan dapat wang ihsan lebih tinggi kali ini berbanding tahun lalu’

KOTA BHARU: Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan memberi wang ihsan dengan jumlah lebih tinggi kepada negeri itu berbanding diterima pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata pada tahun lalu, Kelantan mendapat wang ihsan RM218 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan pada April dan hujung Disember.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya berharap pembayaran wang ihsan daripada Kerajaan Persekutuan tahun ini juga dibuat pada bulan depan.

“Tahun lalu kita dapat RM218 juta wang ihsan dan tahun ini, kita harap Kerajaan Persekutuan bayar banyak lagi sempena berkat Ramadan,” katanya selepas Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan (UPKN) dan Media Bersama kepimpinan di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor;

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah serta Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin berharap Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan secara saksama seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan harapan supaya perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada negeri seluruh Malaysia bagi tujuan pembangunan dan sebagainya.