Kuala Lumpur: Lelaki Israel dipercayai perisik yang ditangkap di Ampang Rabu lalu disifatkan ‘suspek yang tegar’.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata soal siasat masih diteruskan.
“Suspek ini ‘sangat tegar’,” katanya ringkas kepada New Straits Times.
Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Razarudin Husain semalam berkata lelaki Israel berusia 36 tahun ditangkap di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lalu.
Suspek itu, katanya, mendakwa dia datang ke Malaysia untuk membunuh seorang lagi lelaki Israel kerana pertikaian keluarga – cerita yang polis tidak percaya sepenuhnya.
Razarudin berkata, polis kini berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap keselamatan orang awam dan pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim; Raja dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang mengenai isu Palestin-Israel.