Bukan Islam meriahkan ‘port’ moreh

KUALA TERENGGANU: Berbaki beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, ‘port’ moreh berkonsepkan santai dan tradisional di sekitar daerah ini terus dibanjiri pelbagai lapisan masyarakat.

Selain dipenuhi pengunjung beragama Islam untuk aktiviti moreh dan bersahur, lokasi itu turut menjadi tumpuan pengunjung bukan Islam.

Lokasi moreh di Selepek Sahur Payang Walk, Pulau Warisan antara yang menjadi pilihan masyarakat bukan Islam termasuk pelancong luar negara menghabiskan waktu malam mereka.

Pengunjung, Marcus Wong, 24, berkata, dia mengajak teman wanitanya ke Terengganu semata-mata mahu merasai pengalaman moreh di sini selepas lokasi itu tular di media sosial.

“Saya tertarik dengan konsep yang diketengahkan di sini apabila pengunjung menikmati juadah masing-masing dalam keadaan santai di atas tikar.

“Jadi, saya ajak teman wanita ke sini sebab mahu merasai sendiri suasana santai dan ia memang pengalaman baharu untuk kami,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.

Bagi Ella Lau, 23, dari Pulau Kambing, Kuala Terengganu menjadi kelaziman dia mengunjungi lokasi moreh di sekitar Kuala Terengganu setiap kali Ramadan yang mengetengahkan konsep klasik dan tradisional.

“Selain membeli juadah di bazar Ramadan, momen bersantai di lokasi moreh antara yang dinantikan kerana bukan sahaja dapat menikmati pelbagai juadah tetapi kenangan bersantai bersama keluarga dan rakan itu sendiri.

“Apabila makan di sini, kita macam kembali zaman generasi terdahulu dan sebab itu, saya tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke lokasi moreh yang berkonsepkan sebegini,” katanya.

Pelancong dari Georgia, Ucha Burduli, 34 (kanan) mengambil kesempatan bermoreh  di Selepek Sahur, Payang Walk malam tadı. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Pelancong dari Georgia, Ucha Burduli, 34 (kanan) mengambil kesempatan bermoreh di Selepek Sahur, Payang Walk malam tadı. – Foto NSTP/Ghazali Kori

Pelancong, Ucha Burduli, 34, dari Georgia turut melahirkan rasa teruja dengan konsep yang diketengahkan peniaga di sini.

“Ini pengalaman pertama saya makan bersila di atas tikar dan apa yang dibawa peniaga di sini sangat kreatif.

“Saya dapat lihat kemesraan pengunjung di sini yang hadir bersama keluarga atau rakan menghabiskan masa bersantai,” katanya,

Selain Selepek Sahur Payang Walk, terdapat beberapa lagi ‘port’ moreh di sekitar daerah ini iaitu di Pantai Batu Buruk, berhampiran Primula Hotel, Kuala Ibai dan Pantai Pandak.