Cuaca panas: PBAPP sedia 13 lori tangki, 47 tangki statik sempena Aidilfitri

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menggerakkan 13 lori tangki air sebagai langkah siap siaga mengelak atau meminimumkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang dalam situasi cuaca panas dan kering pada perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K Pathmanathan, berkata bilangan itu turut meliputi tiga lori tangki jumbo dengan kapasiti maksimum 40,000 liter setiap satu bersedia berkhidmat di beberapa kawasan kejiranan di Seberang Perai Selatan (SPS) serta beberapa kejiranan kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di Relau dan Bukit Belah, Daerah Barat Daya (DBD).

Beliau turut memaklumkan, sebagai langkah pencegahan dan mitigasi, PBAPP turut akan menempatkan 47 tangki air statik dengan kapasiti maksimum 2,000 liter di lokasi strategik kawasan terbabit bermula semalam hingga Ahad ini (14 April).

“Rasional utama Pelan Kontingensi Air Hari Raya Aidilfitri 2024 PBAPP adalah jangkaan penggunaan air yang tinggi sebelum dan semasa musim perayaan yang panas dan kering dengan kami telah merekodkan purata angka penggunaan air yang tinggi iaitu 927 juta liter sehari (JLH) di Pulau Pinang pada Februari lalu.

“Harap maklum bahawa 927 JLH adalah 50 JLH lebih tinggi daripada purata tahunan 877 JLH untuk 2023 dengan PBAPP menjangkakan penggunaan air ketika tempoh balik kampung dan Hari Raya Aidilfitri, bermula semalam hingga 14 April ini mungkin bersamaan atau melebihi 927 JLH.

“Jika perlu, penghantarannya akan diperluaskan dengan menggunakan lebih banyak lori tangki atau dilanjutkan dalam tempoh lebih lama untuk menampung permintaan air,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pathmanathan berkata, PBAPP seboleh-bolehnya mahu mengelakkan gangguan bekalan air dan menggesa pengguna air di negeri itu menggunakan air secara berhemat ketika sambutan Aidilfitri terutama dalam keadaan simpanan air empangan yang berkurangan akibat cuaca panas ketika ini.

Beliau berkata, kapasiti efektif Empangan Air Itam hari ini ialah 37 peratus, Teluk Bahang 64.9 peratus manakala Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai empangan simpanan starategik musim kemarau kini berada pada tahap 89.6 peratus dan hanya akan dilepaskan apabila air mentah tidak mencukupi untuk diabstrak dari Sungai Muda.

“Kapasiti efektif Empangan Air Itam kini ‘dipertahankan’ oleh Pelan Tindakan Empangan Air Itam PBAPP 2024 (AIDAP 2024) dengan kira-kira 33 JLH air terawat kini dipam dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Air Itam.

“Setakat semalam, paras air Sungai Muda iaitu sumber air mentah utama Pulau Pinang, adalah 2.12 meter (m) di muka sauk Lahar Tiang PBAPP, iaitu melebihi paras selamat 2.0m dengan air mentah yang diabstrak dari Sungai Muda digunakan untuk mengeluarkan air terawat di LRA Sungai Dua,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 85 peratus daripada 927 JLH air terawat yang digunakan oleh 689,786 pengguna air Pulau Pinang pada Februari 2024 telah dikeluarkan di LRA Sungai Dua dan secara keseluruhan buat masa ini status bekalan air di Pulau Pinang adalah terkawal.

Beliau berkata, ramalan cuaca antarabangsa dan tempatan menunjukkan bahawa sepatutnya akan ada hujan yang lebih banyak di Pulau Pinang dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang, berikutan jangkaan peralihan kepada fenomena La Nina dan ketibaan musim peralihan monsun.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan, PBAPP akan terus beroperasi pada status kesiapsiagaan yang tinggi sehingga hujan sebenar meningkatkan kapasiti efektif semua empangan utama yang menjejaskan bekalan air di Pulau Pinang.

“Izinkan juga saya mengulangi rayuan PBAPP kepada semua pengguna air di Pulau Pinang untuk mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus pada April, Mei dan Jun ini,” katanya.