Lelaki ditahan bantu siasatan video tular rosakkan patung tokong

MANJUNG – Polis menahan lelaki berusia 35 tahun bagi membantu siasatan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan seorang individu merosakkan peralatan tokong di Kampung Koh, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, lelaki itu ditahan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sekitar jam 9.30 malam Sabtu.

Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan satu laporan polis diterima daripada seorang lelaki berusia 56 tahun susulan video tular berkenaan pada jam 1.30 petang, hari sama.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk merakam video tersebut.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun keseksaan iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Tambah Mohamed Nordin lagi, kertas siasatan turut dibuka mengikut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 iaitu bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan sekaligus boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Selain itu juga, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular di aplikasi media sosial X video berdurasi 41 saat memaparkan seorang lelaki yang merakam tindakannya sendiri yang sedang merosakan dipercayai patung pada sebuah tokong dengan menendangnya. -MalaysiaGazette

Source :