Gabungan Parti Sarawak akan terus teguh bersama Kerajaan Perpaduan – Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus bersama Kerajaan Perpaduan demi kesejahteraaan rakyat dan kemakmuran negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pada masa sama, Sarawak akan terus memainkan peranan dalam membantu merangka segala usaha membangunkan Malaysia.

“Bagi GPS kita mahukan sebuah Kerajaan Perpaduan yang stabil dan kuat, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Seperti ditegaskan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg sebelum ini, Sarawak akan terus memainkan peranan dalam membantu merangka segala usaha membangunkan Malaysia.

“Sehubungan itu, GPS akan terus bersama Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama membangunkan negara tercinta,” katanya kepada BH.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Presiden pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) kelmarin, menegaskan hubungan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya terjalin kukuh dan mantap walaupun terdapat wujud cubaan berterusan pelbagai pihak cuba merobohkannya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri dipimpinnya juga sentiasa terbuka dalam membincangkan pelbagai isu dalaman, dengan ada isu diakui turut menyentuh kepentingan rakan dalam parti Kerajaan Perpaduan sendiri.

Malah, katanya, setakat ini tiada ada petanda keretakan antara Pakatan Harapan (PH), UMNO-BN (Barisan Nasional), Sabah dan Sarawak.

Fadillah berkata, GPS berpendirian meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan berikutan jika ekonomi berkembang ia sekali gus meningkatkan pendapatan negara.

“Dengan perkembangan pesat ekonomi serta pertambahan ekonomi, baru kita dapat membantu rakyat.

“Justeru, sebarang perbezaan pendapat jika ada sekalipun, wajar diselesaikan secara mencari titik persamaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Source :