Proses bedah siasat 10 mangsa nahas helikopter dijangka selesai esok

IPOH – Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengesahkan menerima 10 jenazah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi prosedur bedah siasat.

Pengarahnya, Dr. Megat Iskandar Megat Abdul Hamid berkata, kesemua jenazah itu tiba di pekarangan Jabatan Forensik HRPB kira-kira 6 petang tadi.

Jelas beliau, insiden yang melibatkan 10 orang kakitangan TLDM itu disahkan terkorban di tempat kejadian.

“Prosedur bedah siasat telah dimulakan dan dijangka dapat disiapkan pada lewat tengah hari esok.

“HRPB dengan ini memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar pihak Jabatan Forensik HRPB.

“Selain itu, kita juga minta orang ramai menghormati privasi waris mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.

Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

TLDM dalam kenyataan berkata, akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang mengorbankan 10 pegawainya.

Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Manakala dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi. – MalaysiaGazette

Source :