Chelsea FC kini ‘Palmer FC’

LONDON: Statistik menunjukkan Chelsea sepatutnya berada di zon penyingkiran jika tidak kerana Cole Palmer selepas pemain itu meledak 20 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.

Dia juga merakam sembilan bantuan jaringan sekali gus menyaksikan dia terbabit dalam 47.5 peratus jaringan dihasilkan Chelsea dalam liga.

Sebagai perbandingan, Nicolas Jackson meledak 10 gol, Raheem Sterling (enam gol), Mykhailo Mudryk (empat gol) dan Noni Madueke (tiga gol).

Jika semua 29 gol disumbangkan Palmer ‘ditarik keluar’ daripada Chelsea, Chelsea akan berada di zon penyingkiran dengan perbezaan 20 mata.

Mereka hanya akan mengutip 27 mata dan berada di tangga ke-18 – hanya mengatasi Burnley dan Sheffield United meskipun mereka ketika ini berada di tangga kesembilan.

Melihat kepada statistik apabila Palmer berada dalam kesebelasan utama, Chelsea memenangi 10 perlawanan, seri enam perlawanan dan tewas tiga perlawanan.

Bekas pemain Manchester City itu juga memenangi 13 mata untuk Chelsea – hanya pemain Bournemouth, Dominic Solanke dan pemain Aston Villa, Ollie Watkins lebih banyak menyelamatkan pasukan mereka dengan jaringan masing-masing.

Chelsea juga melakar rekod tidak diinginkan apabila sudahpun melepaskan 57 dalam liga setakat ini yang menjadi rekod bolos terbanyak mereka dalam satu kempen sejak Liga Perdana (PL) diperkenalkan pada 1992/93.

-AGENSI