Hafizul mengaku tak bersalah cuba bunuh isteri di KLIA

SEPANG – Pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan cubaan membunuh isterinya dan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1), dua minggu lalu.

Beliau membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrol Abdullah di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul, 38, didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap isterinya, Farah Mohd Isa atau Farah Chie, 38, yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda, namun jika menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd. Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh mengakibatkan kematian.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, KLIA 1 pada jam 1.09 pagi 14 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, Mohd Mukhzamy Mohd Mokhtar dan Nor Shawani Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Naim Mahmud bersama Mohd Syafiq Mohd Lazim.

Semasa prosiding, Muhammad Naim merayu agar anak guamnya dibenarkan ikat jamin kerana mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mempertimbangkan perkara itu.

“Selain itu, Hafizul mempunyai ibu bapa yang sudah tua dan memerlukan perhatian rapi serta perlu menanggung tujuh orang anak yang masih kecil seawal usia tiga tahun.

“Malah dia menyatakan masih sayang kepada isterinya, dan kemungkinan tiada sebarang isu terhadap pengadu atau keluarganya,” kata peguam itu.

MUhammad Naim juga tidak membantah cadangan jika anak guamnya dikenakan syarat tambahan sebagai jaminan Hafizul perlu hadir ke mahkamah pada setiap tarikh prosiding.

Bagaimananpun, Ku Hayati yang merupakan Pengarah Pendakwaan Selangor tidak menawarkan sebarang ikat jamin kerana lelaki itu berisiko melarikan diri dan telah dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api.

“Ketika tangkapan di Kota Bharu, Kelantan pada 15 April lalu, hasil siasatan mendapati tertuduh ingin keluar dari Malaysia melalui sempadan tidak sah dan kami percaya dia mempunyai flight risk”, ujarnya.

Setelah meneliti permohonan kedua-kedua belah pihak, Hakim Azrol berkata, ia adalah satu kesalahan serius dan sebarang permohonan jaminan memerlukan penelitian yang mendalam.

“Mahkamah juga mendapati, tiada alasan kukuh bagi mempertimbangkan permohonan pembelaan dan tidak ada sebarang jaminan ke atas tertuduh,” katanya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun ini berserta serahan dokumen. – MalaysiaGazette

Source :