HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) menamakan pemangku Ketua BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut sebagai calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Perkara itu diumumkan Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Calon PRK Kuala Kubu Bharu di sini, malam ini.
Bercakap pada sidang media selepas pengumuman itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, calon berbangsa Melayu julung kali diperkenalkan PN di DUN Kuala Kubu Baharu dengan keputusan dibuat berpandukan beberapa faktor.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan itu melangkaui faktor peratusan pengundi mengikut kaum dan turut mengambil kira maklum balas penduduk setempat, situasi semasa serta beberapa asas lain.
Katanya, latar belakang Khairul Azhari sebagai anak jati Hulu Selangor juga diambil kira, selain sudah lama berbakti di kawasan berkenaan, dikenali masyarakat setempat dan mampu memainkan peranan sebagai wakil rakyat secara berkesan, jika diberi peluang.
“PN turut membuat semakan intensif bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Insolvensi ke atas beliau, sebelum dipilih sebagai calon.
“Kita turut mengambil kira aspek karakter, nilai moral dan sebagainya yang ditampilkan beliau sebelum memuktamadkan pemilihan sebagai calon mewakili PN,” katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi. Turut bertanding calon MUDA, Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh 527 undi.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, diikuti hari pengundian pada 11 Mei.
Yang turut hadir, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.