Boikot terhadap KK Mart bertentangan ajaran, tindakan Rasulullah SAW – Mufti Perak

IPOH: Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, hari ini menegaskan bahawa tuduhan menghina agama Islam yang dilemparkan terhadap pengurusan rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) susulan isu stoking tertera kalimah ‘ALLAH’ tidak terbukti, sekali gus tiada kewajaran agar premis perniagaan syarikat itu diboikot.

Beliau menegaskan, berpandukan kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau “alqasdul jinaei” (criminal intent), yang mana elemen rukun itu tidak boleh dibuktikan melalui “syahadah” atau “direct evidence.”

Wan Zahidi berkata, sebaliknya ia hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian “garainul ahwal” (circumstantial evidence).

Katanya, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum juga bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW di mana dalam sejarah awal Islam, hanya orang kafir Quraisy sahaja yang memboikot umat Islam, namun Rasulullah SAW tidak pernah memboikot walaupun terhadap musuh.

Menurutnya, ia termasuk berpandukan peristiwa sirah yang tercatat mengenai sahabat baginda iaitu Thumamah bin Uthal yang pernah ditegur oleh Rasulullah SAW, tatkala beliau mengisytiharkan sekatan bahan-bahan makanan kepada kaum kafir Quraisy di Makkah.

“Daripada penjelasan yang dibuat oleh pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ternyata kewujudan rukun alqasdul jinaein ini tidak dapat dibuktikan.

“Dengan demikian, berasaskan kaedah kehakiman lslam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti. Selain itu, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum juga tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), di sini hari ini.

Wan Zahidi selanjutnya, menceritakan bahawa Thumamah bin Uthal pada asalnya adalah Ketua Qabilah Yamamnah yang ditawan sepasukan tentera yang diutus Rasulullah SAW dan dibawa ke Madinah, namun beliau kemudiannya memeluk Islam dan berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji.

Kata Wan Zahidi, sesudah mengetahui permusuhan kaum Ouraisy terhadap lslam, Thumamah mengisytiharkan sekatan bahan-bahan makanan kepada kaum Quraisy, yang justeru menampakkan sekatan itu memberi kesan teruk kepada kaum Quraisy di Makkah berikutan sebahagian besar sumber makanan adalah daripada Yamamah.

“Para pembesar Quraisy kemudiannya menghantar utusan kepada Rasulullah SAW meminta jasa baik baginda agar sekatan ditamatkan, dan ekoran permintaan kaum Quraisy itu, Rasulullah SAW meminta Thumamah menghentikan sekatan bahan-bahan makanan terhadap kaum Quraisy.

“Ia menunjukkan keluhuran akhlak baginda yang tidak membenarkan bahan makanan sebagai hak asasi paling utama dalam kehidupan manusia, digunakan sebagai senjata dalam pertikaian.

“Akhlak mulia sebegini kemudiannya diikuti oleh Salahuddin Al-Ayubi yang menghantar doktor peribadi beliau iaitu lbnu Maimun untuk merawat musuhnya, Richard The Lionheart, yang jatuh sakit ketika berada di Jaffa berserta buah-buahan bagi melengkapkan proses perawatan,” katanya.

Katanya lagi, isu KK Mart disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, yang penangannya sudah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat, justeru bertentangan dengan tindakan Rasulullah SAW membentuk Piagam Madinah bagi mengatur hubungan antara pelbagai etnik dalam negara Islam pertama iaitu Madinah.

“Piagam Madinah menyamaratakan hak dan tanggungjawab antara warga muslim dan bukan muslim, dengan menyatakan bahawa warga bukan muslim membentuk satu ‘ummah’ bersama umat Islam yang sekali gus menetapkan diri dan harta benda mereka

dilindungi sama seperti harta benda warga muslim.

“Dakwah lslamiah memerlukan suasana tenang dan damai serta hubungan yang harmoni di antara kaum yang menganut pelbagai agama. Al Quran memberi panduan kepada umat Islam agar menggunakan pendekatan berhikmah dan tutur kata yang baik dalam misi dakwah mereka.

“Rasulullah SAW memperingatkan pendakwah supaya sentiasa menyebar luaskan perkara-perkara vang mencerminkan harapan dan tidak membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada kerenggangan (basysyiru wala tunaffiru),” katanya.