Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan untuk mengadakan lawatan ke Singapura pada 6 dan 7 Mei ini. – Foto Bernama
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan untuk mengadakan lawatan ke Singapura pada 6 dan 7 Mei ini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ke negara berkenaan adalah atas jemputan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Lawatan itu merupakan Lawatan Negara pertama Sultan Ibrahim ke negara tersebut sejak menaiki takhta pada 31 Januari lepas.
Menerusi satu kenyataan daripada Wisma Putra pada Ahad, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Dalam lawan tersebut, Sultan Ibrahim juga berkenan untuk mengadakan lawatan ke Parlimen Singapura selain melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.
“Semasa Lawatan Negara ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan menerima Sambutan Negara di Istana, Singapura.
“Ia kemudian diikuti dengan pertemuan bersama Presiden Republik Singapura serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Republik Singapura.
“Yang di-Pertuan Agong turut dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri Republik Singapura, Lee Hsien Loong dan Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura, Lawrence Wong,” menurut kenyataan tersebut.
Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain sejak lebih sedekad yang lalu, dan yang terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.
Pada tahun 2023, jumlah dagangan kedua-dua negara adalah sebanyak RM363.13 bilion dan lawatan itu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala yang dinamik antara Malaysia dan Singapura.