BJAK tidak pernah diberi kelulusan untuk urus niaga pembaharuan cukai jalan – JPJ

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) mahupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK Sdn Bhd (BJAK) untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

Susulan itu, kenyataan yang dipaparkan oleh pihak BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu ‘Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ’ adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

JPJ berkata, pihaknya memandang serius terhadap kandungan iklan yang dikeluarkan oleh BJAK melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuk program pemberian cukai jalan secara percuma.

“JPJ ingin menegaskan pengoperasian oleh pihak BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran pihak JPJ,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah JPJ, ia telah menerima beberapa aduan daripada orang awam, antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoj sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.

“JPJ ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh BJAK,” kata kenyataan JPJ.

Malah, JPJ turut menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan BJAK.

Sedangkan MoT atau JPJ tidak pernah meluluskan sebarang caj tambahan yang dikenakan BJAK kepada para pelanggan mereka.

JPJ menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kiosk JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan Puspakom) sahaja.

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian. – MalaysiaGazette

Source :