2 cedera, 17 kenderaan rosak dalam kejadian pokok tumbang

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berbangsa Sweden dikenalpasti antara dua mangsa yang cedera dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian sekitar jam 2 petang itu telah menyebabkan seorang lelaki meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa disahkan cedera.

“Dukacitanya satu kenderaan yang dihempap pokok melibatkan seorang pemandu berbangsa melayu berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia dan mayat telah dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk proses bedah siasat.

“Dan maklumat baru yang kita terima dua mangsa lagi yang cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun dan wanita berbangsa Sweden, 72 tahun.

“Kami percaya mereka kemungkinan besar adalah pemandu dan penumpang grab.” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Anggota DBKL mengalihkan pokok besar yang tumbang ke atas sebuah kereta berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.Mengulas lanjut katanya, setakat ini, usaha mengesan waris mangsa yang meninggal dunia masih lagi dilakukan untuk proses bedah siasat.

Nazron juga menasihati orang ramai untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelak melalui lokasi kejadian memandang jalan berkenaan ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.

“Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka ia akan mengambil masa beberapa jam sehingga malam ini.

“Laluan ini akan dibuka semula kepada orang ramai sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan selesai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa mangsa yang terbabit dalam kejadian tersebut supaya tampil membuat laporan kerosakan kenderaan mahupun kecederaan yang  dialami.

Insiden yang berlaku sekitar jam 2 petang itu menyebabkan sebanyak 17 buah kenderaan rosak dan landasan monorel berhampiran turut terhalang oleh dahan daripada pokok tumbang tersebut.

Kejadian itu juga telah menyebabkan kerosakan fasiliti awam di kawasan itu termasuk perhentian bas di tepi laluan berkenaan. – MalaysiaGazette

Source :